Kanak-kanak lemas di tapak perkelahan

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

SEORANG kanak-kanak perempuan lemas di Sungai Ulu Yam berdekatan tapak perkelahan sebuah resort di Kampung Ulu Kalong, Hulu Yam Bharu, pagi tadi.

Mangsa, Qistina Balqis Mohamad berusia 10 tahun dikatakan singgah mandi di sungai itu bersama rakan selepas bermain basikal ditemani ibunya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arshad Kamaruddin, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 39 tahun berhubung kejadian itu.

Katanya, berdasarkan keterangan ibu mangsa, dia bersama tiga anak serta lapan rakan anaknya pergi ke Kampung Ulu Kalong untuk mengayuh basikal di kawasan berkenaan pada jam 9.20 pagi.

“Dalam perjalanan balik ke rumah, mereka berhenti di tapak perkelahan di sebuah resort di Kampung Ulu Kalong, Hulu Yam Bharu untuk berehat.

“Ibu mangsa kemudian pulang ke rumah untuk menghantar seorang anak perempuannya yang mengalami sakit perut.

“Namun selepas datang semula ke tempat mandi itu, ibu mangsa dimaklumkan bahawa anaknya, lemas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.