Tidak pernah pudar hormat dan kasih kepada Tun M – Maszlee

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menegaskan rasa hormatnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah luntur walau kini berbeza pandangan politik.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau amat menghormati bekas Perdana Menteri itu yang telah banyak menabur jasa kepada negara.

“Meskipun wadah dan fahaman politik kita berbeza, sentiasa ada sosok yang layak kita tumpahkan hormat kerana jasa besar mereka buat kita, buat negara, teramatlah banyak.

“Sentiasa tak kurang maruah dan keperibadian kita, saat kita sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbeda dengan kita dalam apa perkara sekalipun.

“Doa saya buat Tun sentiasa terutus dan hubungan baik antara saya dan beliau juga akan terus terpelihara. Tak pernah ada kebencian, apalagi dendam dan amarah walau sekelumit,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dr Maszlee juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana melantik beliau sebagai Menteri Pendidikan sebelum diminta memulangkan jawatan itu selepas 20 bulan.

Katanya, tempoh 20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran sehingga menumbuhkan tekad yang kuat di hati bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefarduan.

“Fardu ini tidak boleh berhenti, walau siapa pun saya dan di mana pun saya berada,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu pernah menasihatkan beliau bahawa politik ialah kerja-kerja membangun bangsa dan negara sebaik sahaja pertama kali melangkah dalam dunia itu.

“Beliau juga ada beritahu, realiti politik adalah berbeza dengan segala teori yang saya ajarkan dan tuliskan lewat kehidupan akademik dahulu,” katanya.

Menyentuh soal masa depannya, Maszlee memberitahu perjuangan baharunya sudah bermula dan tumpuan hakiki di Simpang Renggam serta tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar.

“Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara. Rosak pendidikan, rosaklah masa depan.

“Saya juga yakin kedudukan juga kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan,” katanya. – Malaysiapost