Potong gaji PM, menteri untuk bantu rakyat

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

PERGERAKAN Wira Putra Malaysia mencadangkan gaji Perdana Menteri dan barisan Kabinet dipotong 50 peratus sebagai salah satu kaedah membantu rakyat yang terkesan kerana Covid-19.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata selain itu gaji Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga sewajarnya dipotong.

Katanya, tidak terkecuali ahli lembaga pengarah badan bukan kerajaan (GLC) dan pengurus esekutif badan berkanun.

“Dalam keadaan serba sempit ini, disarankan bagi semua menteri menghadkan kepada satu jawatan pegawai khas sahaja.

“Ini kerana ada sesetengah menteri mempunyai lebih daripada satu pegawai khas dan gaji serta elaun mereka ditampung oleh kerajaan. Ini pembaziran yang boleh dielak,” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menaikkan Bantuan Sara Hidup (BSH) sekiranya tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana bimbang akan masa depan rakyat.

“Kerajaan boleh memberikan bantuan BSH B40 dengan menaikan jumlah sebanyak RM3,000 kepada penerima. Dengan cara ini bantuan dapat diberi secara bersasar.

“Selain pemberian elaun pengangguran berjumlah RM500 sebulan kepada siswazah-siswazah yang telah tamat pengajian perlu disalurkan kepada mereka selagi mana ada ancaman Covid-19,” katanya.

Nasrul Ali turut berharap kerajaan dapat memperkasakan gerakan koperasi menyatukan dan mendagangkan hasil IKS terutama yang masih baharu untuk berada di dalam pasaran. – Malaysiapost