Muhammad Mustakim Ramli
UNJURAN ekonomi negara akan menguncup kepada 5.5 peratus sehingga 3.5 peratus pada tahun ini susulan pandemik Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata, selain itu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara juga menguncup 8.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini, namun kesan negatif itu dijangka pulih pada tahun hadapan.
“Penunjuk ekonomi pada bulan Ogos dan September telah menunjukkan lebih baik berbanding separuh pertama tahun 2020.
“Eksport Malaysia meningkat kepada 13.6 peratus, nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik sebanyak 2.5 peratus, jualan kereta penumpang pada September naik lapan peratus dan pasaran buruh kekal mencatatkan kadar penganguran 4.7 peratus pada Julai dan September,” katanya di Parlimen, hari ini.
Mustapa berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang bertanya setakat manakah impak ekonomi daripada pandemik Covid-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara.
Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan menjangkakan ekonomi negara mungkin akan terjejas pada Oktober dan November susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dalam usaha mengekang gelombang ketiga Covid-19.
Beliau bagaimanpun memaklumkan kerajaan telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang terkesan akibat wabak tersebut. -Malaysiapost

