Semoga kematian Surya dapat pembelaan – Ayah

0
2

“SAYA harap kematiannya mendapat pembelaan sewajarnya.” luah Ismail Muda, 58, ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat di Kuala Terengganu, malam ini. 

Jenazah Siti Nur Surya, 19, selamat dikebumikan pada jam 8.15 malam dalam suasana hiba yang dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan, lapor Berita Harian.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiba di rumah keluarganya di Kampung Beladau Selat kira-kira jam 6.30 petang sebelum dibawa ke masjid kampung itu untuk disembahyangkan selepas solat Maghrib. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, Siti Nur Surya ditemui mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kecederaan lain pada muka dan badan. 

Lebih menyayat hati apabila ibu mangsa, Zaini Musa, 55, hanya mampu melihat jenazah diusung keluar dari rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan kerana menghidap kanser otak tahap tiga. 

Sebaik jenazah diusung keluar kira-kira jam 6.30 petang, Ismail memberitahu apa yang berlaku sambil membantu memalingkan muka wanita itu ke arah keranda membawa jenazah anaknya, namun dia hanya melihat tanpa sebarang reaksi. 

Pagi tadi, polis menahan remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga rakan Siti Nur Surya di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada jam 8.15 pagi. 

Katanya, sebelum kejadian, suspek pergi ke rumah mangsa dan ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan. 

“Suspek dikatakan mengambil pisau dapur di ruang tamu sebelum mengelarnya beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya. 

Suspek yang masih belajar di tingkatan enam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost

Foto Kredit: Abe Di