Pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC memalukan – Kit Siang

0
1

PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang menggambarkan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) adalah sangat memalukan dan tidak berintegriti.

Menurutnya, ia mengejut dan memalukan serta bukti integriti dan agenda antirasuah adalah prinsip yang sangat jauh daripada Umno, MCA, dan MIC, selain Parlimen tidak sepatutnya mengiktiraf pelantikan tersebut.

“Apa yang membuatkan pelantikan ini lebih mengejutkan dan memalukan adalah dibuat tiga bulan selepas pendakwaan beliau.

“… dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta pada 28 Julai lalu atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC bertentangan dengan tugas Parlimen yang meletakkan keadilan sebagai struktur teratas.

Kit Siang berkata, Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat perlu mendengar penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyatakan sabitan terhadap Najib pada 28 Julai lalu adalah salah satu kes penyalahgunaan kuasa terburuk.

“Dalam penghakiman 500 muka surat beliau, hakim tersebut mengatakan walaupun Najib telah menyumbang kepada kebajikan dan penambahbaikan kehidupan rakyat dalam pelbagai bentuk, mahkamah akan membiar sejarah menentukan sama ada mantan perdana menteri tersebut melakukan lebih banyak kebaikan berbanding keburukan.

“Masih setuju dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC?” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Najib Razak dipilih sebagai pengerusi BNBBC bermula sidang Dewan Rakyat pada hari ini, terutama dalam perbahasan Belanjawan 2021. – Malaysiapost