‘Frontliner’ beli PPE sendiri, elak risiko jangkitan Covid-19

0
1

SEORANG kakitangan hospital di pedalaman Sabah dan rakan setugasnya menggunakan duit poket sendiri untuk membeli peralatan perlindungan peribadi (PPE) kerana tidak mahu mengambil risiko dijangkiti Covid-19.

Petugas barisan hadapan yang tidak mahu dinamakan itu berkata, mereka terpaksa berjimat demi membeli PPE dan kadang-kadang membelinya dalam talian walaupun sedar ia tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami faham keutamaan diberi kepada zon merah dan kami tidak menyalahkan pihak atasan atau kerajaan.

“Bagaimanapun, kami juga risau kerana kita tidak tahu virus ini berada di mana, lebih-lebih lagi kita berdepan pesakit setiap hari walaupun mereka hanya dikategorikan pesakit luar.

“PPE yang kami beli pun bukanlah yang lengkap, hanya beberapa peralatan saja dijual dalam talian seperti pelitup muka, pelindung muka, apron dan cecair sanitasi,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata, pihak hospital memang ada menyediakan PPE, tetapi ia hanya digunakan dalam situasi tertentu kerana jumlahnya terhad.

“Kami hanya disediakan PPE apabila melakukan ujian swab atau ketika menghantar pesakit disyaki dijangkiti Covid-19 ke hospital utama,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga pernah menjahit pelitup muka untuk kegunaan sendiri dan disumbangkan kepada pesakit kurang berkemampuan.

“Kami edarkan pelitup muka kepada pesakit yang kurang berkemampuan, termasuk kanak-kanak yang menggunakan pelitup muka saiz orang dewasa.

“Kami bersyukur ada juga pesakit yang begitu budiman memberikan sumbangan pelindung muka dan cecair sanitasi kepada kami,” katanya lagi.

Minggu lalu, seorang petugas kesihatan memberitahu FMT, kebanyakan kemudahan perubatan seperti respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) dan PPE disumbangkan NGO.

“Kalau kita tunggu dari (kerajaan) pusat, saya tidak tahu berapa ramai yang terkorban pun belum sampai (kemudahan perubatan itu),” ujarnya. -Malaysiapost