IBU kepada pengacara dan pelakon popular, Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed menzahirkan perasaan syukur dan gembira apabila anaknya kini telah telah disunting orang.
Menerusi satu catatan di Insta Story miliknya, Noor Kartini meluahkan perasaan syukur atas perjalanan hidup anaknya, Neelofa yang diatur indah.
Menurutnya, inilah saat yang ditunggu apabila hadir seorang lelaki yang boleh menjadi pembimbing kepada anaknya, Neelofa.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.. syukurku padaMu Ya Rabb.. saat yang ku tunggu-tunggu sudah pun tiba, kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayanganku.
“Aku yakin dengan ketentuanMu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya yang akan menyokong setiap apa saja urusannya.
“Ya Allah, jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewaMu di syurgaMu nanti.. Amin,” katanya hari ini.
Hantaran tersebut seperti ingin memberi gambaran bahawa kini Neelofa telah dirisik oleh seseorang.

Sebelum ini, spekulasi mengenai hubungan pengacara dan pelakon popular, Neelofa dengan bekas peserta rancangan Pencetus Ummah, Haris Ismail kembali bertiup kencang di laman sosial hari ini.
Ini berikutan terdapat beberapa foto yang dimuatnaik di laman sosial Instagram (IG) dan IG Story pengacara itu seperti sedang meraikan satu majlis di kediamannya dan ramai yang bertanya adakah Neelofa sudah bertunang?
Menguatkan lagi persoalan mengenai pertunangan pengacara berusia 31 tahun itu apabila kelihatan kelibat PU Haris pada majlis itu.
Menerusi catatan Neelofa dalam Insta Storynya hari ini juga dikatakan berkaitan dengan majlis tersebut.
“Semoga hari ini kita diberkati Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih Allah kerana menyempurnakan perancangan ini. (Senyuman di sebalik niqab),” kata Neelofa.
Memetik laporan Awani, Neelofa dan Haris, 25, difahamkan bakal disatukan menjelang Mac tahun depan.
Sumber yang turut menghadiri majlis merisik itu memaklumkan, keluarga kedua-dua pihak juga menyerahkan kepada Neelofa dan PU Riz untuk menentukan perancangan perkahwinan mereka termasuk jumlah hantaran. – Malaysiapost

