Titian patah asal nama Kluster Titian

0
2

KLUSTER Titian, iaitu kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti semalam memperoleh namanya daripada satu titian menghubungkan rumah di sebuah perkampungan atas air yang patah.

Perkara itu dikongsi Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari menerusi Facebooknya yang turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memberikan kata-kata semangat serta perangsang.

Dr Ismuni berkata beliau bersama petugas kesihatan semalam turun ke kawasan berpotensi jangkitan Covid-19 dengan menyusuri sungai, laut dan titian, sebelum berdepan sedikit cabaran apabila hujan dan mula berangin.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta cadangan nama untuk satu kluster baharu yang mereka kenal pasti di kawasan tersebut.

“Kami tahu sensitiviti tempatan perlu dijaga. Info (maklumat) kena tepat supaya tidak panik, pening sebab perlu keputusan cepat di kala berhati-hati untuk tidak jatuh laut yang telah meyaksikan ramai anak buah telah tersungkur.

“Selepas tiga jam di lapangan… salah satu titian sejauh lima meter patah, terpaksa cari kayu untuk sambung sementara dan ketika termenung cari kayu.. nama ‘TITIAN’ muncul.

“Dan menjelmalah Kluster Titian. Terima kasih semua anak buah yang sangat tabah. Insya-Allah kita selesaikan amanah kita… kita pasti menang… ameen,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham yang turut berkongsi pautan hantaran Dr Asmuni, berdoa agar urusan petugas kesihatan dipermudahkan.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan mendapat kerjasama padu dari semua pihak untuk membendung jangkitan Covid-19,” katanya.

Seramai 464 individu telah disaring membabitkan Kluster Titian setakat semalam dengan 11 kes positif dan 413 masih menunggu keputusan. – Malaysiapost