PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan lagi sehingga 16 November.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.
“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan culik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hazani lagi, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka di kawasan daratan ESSZONE.
“Iaa juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.
“Saya memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. – Malaysiapost

