Mungkin ada pegawai lindungi sindiket Macau Scam

0
1

PEGAWAI agensi keselamatan di utara tanah air antara kemungkinan terbabit dalam melindungi sindiket Macau Scam.

Ia susulan terdapat dakwaan pegawai kanan agensi penguatkuasaan itu menerima jutaan ringgit bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas sindiket terbabit.

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menerima maklumat dan ia termasuk dalam siasatan awal mereka selepas Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, 32, dan Addy Kana ditahan berkaitan pengubahan wang haram.

“Memang sudah termasuk dalam siasatan awal mengenai dakwaan pegawai agensi keselamatan di utara tanah air terbabit melindungi sindiket ini.

“Cuma SPRM sedang meneliti dan melihat bukti atau isu berkaitan dakwaan itu sama ada ia benar berlaku atau tidak,” katanya.

Sumber itu berkata, setakat ini belum ada pegawai penguat kuasa dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan itu.

“Cuma siasatan meneliti sama ada ia didalangi sindiket sama atau lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung dakwaan itu dan tidak dapat dipastikan sama ada ia benar berlaku atau tidak.

“Kita akan menyiasat dakwaan ini,” katanya.

Addy Kana dan Alvin ketika ini ditahan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 oleh polis selepas dibebaskan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mereka dalam sindiket perjudian dalam talian.

Media sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan guna populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan. – Malaysiapost