6 lagi jemaah tabligh pulang dari India

0
2

SERAMAI enam ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia tiba di tanah air dari New Delhi, India, hari ini, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, semua mereka tiba di tanah air menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.02 petang.

“Dengan kepulangan enam ahli jemaah ini, masih ada 13 rakyat Malaysia di India menunggu diberikan kebenaran untuk pulang atau menjalani prosedur perundangan di Bihar, India,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata, perwakilan Malaysia di India akan meneruskan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyelaras kepulangan mereka.

Katanya, sehingga kini Kementerian Luar membawa pulang 176 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

Kamarudin berkata, sebelum ini seramai 170 jemaah tabligh dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 September, 9, 14, dan 23 Oktober lalu.

“Semua ahli jemaah yang dibawa pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin sejajar dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Kementerian Luar katanya, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan terlibat terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama dan komitmen menjayakan misi membawa pulang rakyat Malaysia di India.

“Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya. – Malaysiapost