Majlis serah tugas punca penambahan kes baharu Kluster Tuguson

0
1

MAJLIS serah tugas dikenal pasti menjadi punca empat kes baharu dalam Kluster Tuguson di Kota Belud, Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, majlis itu mencetuskan kluster baharu dinamakan Kluster Tuguson seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini manakala satu lagi adalah Kluster Sakti di Lahad Datu.

“Kluster Sakti di Lahad Datu membabitkan tujuh kes iaitu kluster di kilang kelapa sawit.

“Kluster Tuguson di daerah Kota Belud pula membabitkan empat kes yang berpunca daripada majlis serah tugas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 kerajaan negeri berkata, ia menjadikan kumulatif kes keseluruhan setakat hari ini sebanyak 14,053 kes.

“Pada hari ini, seramai 458 pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 7,683 orang.

“Seramai 3,848 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 730 orang di hospital dan 3,118 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah 72 orang, manakala 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, tiada lagi zon hijau di Sabah hari ini susulan satu kes dikesan di Tongod yang sebelum ini dikategorikan sebagai satu-satunya daerah zon hijau di negeri berkenaan.

Zon kuning kini meningkat kepada lapan daerah iaitu Tongod, Telupid, Pitas, Tenom, Nabawan, Sipitang, Kuala Penyu dan Beluran.

Manakala, baki 18 daerah lagi berada dalam zon merah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Tuaran, Lahad Datu, Penampang, Keningau, Semporna, Papar, Kota Belud, Putatan, Beaufort, Kinabatangan, Tambunan, Ranau, Kudat, Kunak dan Kota Marudu,” katanya. – Malaysiapost