Macau Scam: Alvin nafi terbabit salah laku jenayah

0
2

SUSPEK utama sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, Alvin Goh menafikan pembabitannya dalam sebarang kegiatan jenayah yang didakwa terhadapnya.

Menerusi satu video yang tular, Alvin atau Goh Leong Yeong membuat penafian itu yang dipercayai dimuat naik rakannya sebelum dia ditahan.

Alvin adalah individu yang melarikan diri dengan memanjat pagar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik dilepaskan bagi mengelak ditahan oleh polis.

Dalam video berdurasi 8 minit 39 saat itu, Alvin menjelaskan perjalanan kerjayanya namun menafikan terbabit dengan kegiatan jenayah.

Malah, Alvin turut menafikan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya tidak pernah diberi gelaran Datuk Seri, namun saya mempunyai syarikat telekomunikasi dan peralatan teknologi di sebuah pusat beli-belah Bukit Bintang.

“Namun, tidak pernah terlibat dengan sindiket Macau Scam atau perjudian dalam talian,” katanya.

Menurutnya, dia telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM semasa siasatan berlangsung.

“Namun, ketika dibebaskan pada 11 Oktober lepas, saya mendapat tahu polis juga akan menahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Saya tahu apabila dituduh di bawah akta itu, ia satu perkara yang serius.

“Selepas 10 hari direman di SPRM, saya letih dan tidak dapat berfikir dengan baik. Selepas saya dilepaskan, saya keluar melalui pintu belakang bangunan SPRM, dan beberapa hari selepas itu baru saya tahu melalui media yang saya diburu,” katanya.

Dia turut memberitahu bahawa, apabila video itu ditonton, dia telah pun menyerahkan diri kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan. – Malaysiapost