Fitri Nizam
PAS menyeru sekutunya Barisan Nasional (BN) untuk terus Istiqomah mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, PAS terus menzahirkan kesetiaannya terhadap Perdana Menteri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan baginda dengan kerajaan dalam usaha menguruskan dan menangani penularan Covid-19.
Katanya, PAS juga menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sekaligus mempertegaskan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS bersama kerajaan PN yang prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PAS juga menyeru Ahli Parlimen BN bersama mempertahankan kerajaan PN yang dibina atas keruntuhan Pakatan Harapan (PH).
“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak Covid-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu-padu,” katanya.
Beliau juga mengakhiri kenyataan itu dengan slogan yang kerap kali dilaungkan PAS ‘Perkukuh Muafakat Nasional, Pertahan Perikatan Nasional’.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa baginda berpendapat tiada keperluan pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19 seperti yang diusulkan Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet.
Al-Sultan Abdullah turut berpendapat, tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. -Malaysiapost

