Cadang darurat: PM, barisan kabinet perlu letak jawatan – AMK

0
2

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinetnya gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan apabila mencadangkan darurat dikuatkuasakan.

Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar meletakkan jawatan setelah Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan untuk mengisytiharkan darurat.

”Cadangan tersebut ternyata dangkal demi menyekat pembentangan belanjawan dan seterusnya menyebabkan ketidakstabilan pemerintahan.

“Selaras dengan peringatan Baginda supaya ahli politik tidak mengganggu gugat kestabilan pemerintahan, maka wajarlah Muhyiddin dan barisan kabinetnya berundur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia memerlukan sosok Perdana Menteri baharu yang disokong oleh majoriti Ahli Parlimen serta barisan kabinet yang lebih kompeten.

“Kestabilan pemerintahan perlu segera dikembalikan dan tumpuan kepada pembentangan belanjawan dan agenda melawan Covid-19 perlu diutamakan,” katanya.

Istana Negara menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia, buat masa ini.

Malah, Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. -Malaysiapost