Belanjawan 2021: Ramai minta Tengku Zafrul benar pengeluaran RM10,000 caruman KWSP

0
2

Nurul Huda Abhar

SELARAS pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November depan, pelbagai inisiatif dan cadangan baharu diutarakan rakyat bagi menzahirkan keperluan mereka demi kelangsungan hidup.

Ini termasuk cadangan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran sehingga RM10,000 bagi menampung perbelanjaan yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melalui catatan di laman Facebook bertanyakan kepada warganet mengenai cadangan dan harapan mereka untuk Belanjawan 2021.

Warganet berpeluang berkongsi cadangan dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Menurut pemilik akaun Bob Mokhtar, beliau bersetuju dengan cadangan agar dibenarkan untuk membuat pengeluaran ‘one off’ bagi pencarum KWSP bagi pembayaran bulanan yang tertunggak.

“Pengeluaran akaun satu KWSP ‘one off’ RM10,000 atau lebih kalau boleh disegerakan sebab ramai yang menghadapi masalah pembayaran rumah, kereta, belanja harian dan lain-lain,” tulisnya.

Selain itu, terdapat komen yang mahu kerajaan melanjutkan moratorium secara automatik dan syarat pengeluaran KWSP dibenarkan sehingga vaksin Covid-19 ditemui.

“Tolong lanjut moratorium automatik. Kalau kerajaan kurang peruntukan untuk bantu kami rakyat marhaen minta tolong boleh keluarkan KWSP akaun satu sebanyak atau maksimum RM10,000 untuk kelangsungan hidup, sehingga Covid-19 ni betul-betul ada vaksin.

“Sebab kalau peruntukan ni kebanykkan warga B40 ke bawah dan bersasar. Bagaimana dengan kami M40 ni banyak komitmen nak dilangsaikan. Kalau harap gaji sahaja tidak dapat menampung,” kata Fyda Azminda.

Turut bersetuju dengan cadangan itu adalah Sunny Abdullah yang memberitahu akaun dua KWSP miliknya telah habis digunakan untuk membayar yuran pengajian anaknya.

“Mohon kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP bagi akaun satu, kerana bagi kami yang tiada simpanan lagi dalam akaun dua iaitu setelah habis digunakan bagi pembayaran yuran kolej anak-anak.

“Oleh itu kami mohon agar dapat menggunakan simpanan akaun satu,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa KWSP membenarkan para pencarum membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Menurutnya, wang berkenaan bertujuan menampung perbelanjaan individu yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

“Kini ada banyak permintaan untuk kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ sehingga RM10,000 dari akaun satu KWSP bagi kegunaan mendesak.

“Saya rasa permohonan ini boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon juga tandatangan surat aku janji untuk berjanji mencarum semula pengeluaran ‘one-off’ ini dalam tempoh dua tahun akan datang selepas ekonomi pulih, tidak termasuk caruman bulanan biasa,” katanya. – Malaysiapost