Nurul Huda Abhar
KERAJAAN perlu memperhalusi Belanjawan 2021 agar ia adil bagi semua, tanpa mengira fahaman politik, untuk membawa negara keluar daripada kemelut wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
Ketua Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata peruntukan kewangan yang besar diperlukan oleh petugas-petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Peruntukan yang sewajarnya untuk petugas-petugas barisan hadapan, agar kelengkapan seperti alat pelindung diri (PPE) sentiasa mencukupi ketika berhadapan Covid-19. Tumpuan harus diberikan di negeri-negeri yang kritikal seperti Sabah dan Selangor.
“Elaun tambahan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang sudah berperang dengan Covid-19 sejak bulan Mac. Elaun tambahan ini juga perlu diperluas kepada sukarelawan barisan hadapan,” katanya hari ini.
Menurut Shahir, moratorium secara automatik perlu dilaksanakan kepada seluruh rakyat sehingga Mac 2021 agar ekonomi tempatan dapat dijana serta moratorium secara bersasar kepada syarikat-syarikat kecil agar mereka tidak gulung tikar.
Beliau berkata, penjawat awam yang bertukus-lumus membantu pentadbiran negara ketika ketidak-tentuan politik perlu diberikan penghargaan, melalui kenaikan pangkat dan gaji atau pun bonus.
Selain itu, katanya, rakyat yang dibuang pekerjaan perlu diberikan bantuan tambahan serta dana keusahawanan perlu ditambah dan diagihkan dengan adil kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.
“Rakyat di luar bandar memerlukan jaringan internet yang bagus agar anak-anak di sekolah tidak tercicir. Keadaan hari ini memaksa guru-guru dan anak murid belajar secara atas talian.
“Bantuan kepada golongan B40 perlu diteruskan. Bantuan sebegini dapat membantu meringankan beban rakyat di bawah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga mencadangkan elaun Ahli Parlimen, Jemaah Menteri, dan ahli Lembaga Pengarah GLC dapat dikurangkan di saat rakyat melalui kesukaran hidup ekoran wabak Covid-19.
Katanya, ketika ramai hilang pekerjaan, dikurangkan gaji serta elaun, dan perniagaan terjejas teruk, maka tidak adil jika elaun dan gaji pemimpin seolah-olah ‘business as usual’ ,”katanya. -Malaysiapost

