Tiba masa untuk pemimpin politik berkorban – Shafie

0
2

PARTI Warisan Sabah (Warisan) menyeru pemimpin politik untuk bekerjasama demi memastikan negara dapat memerangi wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
pihaknya menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong yang tidak memperkenankan pelaksanaan darurat dilaksanakan.

Bekas Menteri Besar Sabah itu berkata, Warisan kekal dengan pendirian bahawa keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa.

“Masing-masing mencari jalan penyelesaian demi negara yang tercinta ini,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna berkata, rakyat telah melakukan pengorbanan di saat-saat sukar ini.

“Maka tiba masanya semua Menteri dan wakil rakyat turut berkorban dengan memberi sumbangan kepada usaha-usaha menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam berdepan pandemik Covid-19, komuniti perniagaan antara yang terjejas teruk, malah terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana perniagaan terjejas.

“Justeru, Warisan menyeru komuniti perniagaan ini tampil bekerjasama bersama kerajaan untuk memastikan satu langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.

“Komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan tentang bagaimana masalah yang timbul dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata, Warisan menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia dalam mematuhi arahan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Teruskanlah sokongan kepada setiap arahan atau SOP (prosedur operasi standard) pihak berkuasa.

“InsyaAllah kita pasti dapat menempuh dan mengatasi cabaran ini,” katanya.

Semalam, Raja-Raja Melayu bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya mengenai penularan Covid-19.

Susulan pertemuan itu, Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia, buat masa ini.

Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. -Malaysiapost