Mesyuarat Khas Kabinet: PM tiba di Bangunan Perdana Putra

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Beliau dijangka mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pagi ini.

Difahamkan, mesyuarat itu bagi membincangkan lebih lanjut keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menolak pengisytiharan darurat, semalam.

Mesyuarat berkenaan dijangka bermula pada pukul 11 pagi ini di Pejabat Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra.

Perdana Menteri semalam menyatakan bahawa Jemaah Menteri akan berbincang lebih lanjut titah Seri Paduka bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri berkata, keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah untuk melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.

Beliau bagaimanapun menyambut baik atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinannya dalam melaksanakan tindakan bagi membendung pandemik itu.

Sementara itu, mesyuarat Perdana Menteri, dengan semua menteri besar dan ketua menteri yang dijadualkan berlangsung hari ini dibatalkan.

Menurut Pejabat Menteri Besar Selangor, mesyuarat yang dijadualkan di Putrajaya itu dibatalkan oleh pihak penganjur.

“Mesyuarat yang dijadualkan akan dihadiri Menteri Besar pada pagi esok (hari ini) di Putrajaya telah dibatalkan oleh pihak penganjur. Terima kasih,” katanya. -Malaysiapost