SEORANG lelaki maut manakala lapan pekerja pembersihan cedera dalam kemalangan di Bandar Utama Damansara berhampiran sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pagi ini.
Mangsa, Mohamed Zaini Zakaria, 32, yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya semalam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, pihak JBPM Selangor menerima panggilan kejadian jam 5.54 pagi.
Norazam berkata, kemalangan membabitkan sebuah Honda Accord dipandu mangsa melanggar bahagian belakang lori yang dipandu seorang lelaki dengan lapan pekerja kontrak sedang melakukan kerja pembersihan jalan raya.
“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta tersepit dan anggota berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
“Lapan pekerja pembersihan berusia antara 20-an hingga 40-an cedera ringan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan lima ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost




