BN tentukan pendirian kekal bersama PN atau tidak hari ini

0
1

Aiman Hanif

PERTEMUAN Ahli Parlimen BN petang ini adalah bagi menentukan pendirian parti itu sama ada kekal bersama Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Menurut sumber yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin mendapatkan pandangan Ahli Parlimen BN sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ya pertemuan Ahli Parlimen BN petang ini untuk mennetukan pendirian terbaru BN selepas titah Yang di-Pertuan Agong, semalam.

“Sama ada kekal menyokong atau tidak akan ditentukan nanti,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu Malaysiapost melaporkan yang Presiden Umno tidak hadir dalam pertemuan dengan Perdana Menteri yang dijadualkan pagi.

Perdana Menteri pagi tadi mengadakan pertemuan dengan menteri Kabinet dan beberapa ketua parti bagi membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengadakan darurat bagi menangani Covid-19.

Antara ketua parti yang hadir pada pertemuan di Putrajaya pagi itu tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Sumber Umno memaklumkan yang Zahid membuat keputusan untuk tidak hadir pertemuan itu atas alasan peribadi

Semalam Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani Covid-19.

Istana Negara juga mengingatkan pemimpin politik supaya menghentikan ‘politiking’ dan memberi fokus kepada usaha membantu rakyat.- Malaysiapost