Nilam Oshman
YANG di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri yang baharu untuk memudahkan pelaksanaan Belanjawan 2021 kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang kepercayaan.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata ia adalah petanda Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Jadi Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli parlimen baru untuk menjadi Perdana Menteri dan selepas itu Perdana Menteri baharu akan bentang bajet 2021 itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, sistem ‘check and balance’ dalam institusi Raja-Raja Melayu ini sudah lama wujud, cuma sebelum ini kedudukan kerajaan adalah stabil.
“Justeru apabila sekarang kerajaan tak stabil, jadi Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang memang ada di dalam perlembagaan.
“Sebelum ini, perkara sama berlaku cuma kerajaan stabil jadi tak nampak sangat lah.
“Tapi kini ia (pergolakan politik) jelas dan istana tidak bermain dengan isu politik berkenaan,” katanya.
Semalam, Raja-Raja Melayu bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya mengenai penularan Covid-19.
Susulan pertemuan itu, Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia, buat masa ini.
Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. -Malaysiapost

