Lebih 77 peratus responden tidak setuju isytihar darurat

0
2

LEBIH 77 peratus responden didapati tidak bersetuju sekiranya pengisytiharan darurat dilaksanakan di negara ini.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan pungutan pendapat atau ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) secara elektronik menerusi medium sebaran WhatsApp, Twitter, Facebook, Emel, laman sesawang dan Telegram yang dihubungkan kepada Sistem E-Survei IDE.

Tinjauan selama lapan jam itu bermula dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam semalam, melibatkan 51,147 responden Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“Hasil tinjauan mendapati, sebanyak 77.39 peratus (39,587 responden) tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat, manakala 22.61 peratus (11,560 responden) pula menjawab setuju.

“Sementara itu, apabila soalan apakah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia diajukan, sebanyak 49.80 peratus (25,469 responden) menyatakan sokongan supaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala 32.49 peratus (16,617 responden) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri,” kata IDE dalam kenyataan, hari ini.

IDE berkata, selain itu sebanyak 17.71 peratus (9,061 responden) pula mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Berdasarkan analysis itu, IDE mendapati majoriti yang menyokong pengisytiharan darurat adalah mereka yang turut cenderung menyokong Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Namun begitu, mereka yang menolak darurat, lebih cenderung memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Hanya 17.71 peratus yang memilih untuk pembubaran Parlimen dan bersetuju pilihan raya umum diadakan,” katanya.

Menurut IDE, respons tertinggi diperoleh antara jam 8 malam hingga 10 malam dan pihaknya membuat ‘tracking’ pungutan pendapat tersebut setiap 30 minit bagi menyemak keabsahan kemasukan data.

IDE memaklumkan kajian itu dijalankan susulan polemik politik yang berlaku selepas Muhyiddin dipercayai mengusulkan cadangan pengisytiharan perintah darurat ketika pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu. -Malaysiapost