CUBAAN mengisytiharkan darurat oleh kerajaan yang tidak mendapat sokongan rakyat adalah langkah diktator untuk terus mencengkam kuasa.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya mengheret Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ke dalam krisis keyakinan rakyat terhadap mereka.
Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya tidak terus cuba berpaut pada kuasa sebaliknya mengambil tindakan bermaruah dengan meletakkan jawatan.
“Penukaran Perdana Menteri dan kerajaan semasa wabak Covid-19 sedang melanda bukan sesuatu yang mustahil dilakukan. Ini ditunjukkan oleh (Datuk Seri ) Azmin Ali dengan ‘Langkah Sheraton’ beliau yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“(Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperolehi keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia. Tindakan beliau menyembahkan perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong adalah kerana itu kehendak undang-undang dan rasa tanggungjawabnya terhadap negara dan rakyat Malaysia.
“Kini masanya untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengembalikan mandat rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Shamsul Iskandar turut membidas Azmin kerana mengeluarkan kenyataan yang disifatkan mendahului Majlis Raja-Raja yang bersidang hari ini.
“Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali mengenai apa yang diistilahkan beliau sebagai “Darurat Ekonomi” adalah tindakan mendahului Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada hari ini.
“Walau apa sekalipun istilah dan nama yang cuba dipakaikan PN terhadap cadangan mereka, hakikatnya tidak wujud keadaan darurat.
“Sebaliknya negara diancam ketidakcekapan PN di dalam mentadbir negara, khususnya untuk memenangi perjuangan mengatasi ancaman wabak Covid-19. -Malaysiapost

