KIRA-KIRA 36,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami gangguan bekalan hari ini, berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang, Kota Setar, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, berkata pengguna yang akan terjejas membabitkan sepanjang jalan Hutan Kampung ke Jalan Langgar dan Jalan Langgar ke bandaraya Alor Setar.
Beliau berkata, selain itu kawasan sepanjang Jalan Tanjung Bendahara, Jalan Teluk Wanjah dan sekitar turut akan mengalami gangguan bekalan.
Katanya, pengguna di kawasan terbabit dinasihat membuat persediaan awal dan menyimpan air serta menggunakannya secara bijaksana.
“Projek berkenaan membabitkan kerja penukaran meter SIV KU6 (Kolam R2)di LRA Bukit Pinang serta kerja-kerja berkaitan yang dijangka bermula dari jam 10 malam ini hingga 10 pagi esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Suhaimi berkata, pihak SADA memohon maaf di atas segala kesulitan yang bakal dihadapi semua pengguna di kawasan terbabit. -Malaysiapost

