Umno Johor mohon perjelas Perkara 150

0
1
Johor Mentri Besar Datuk Hasni Mohammad during press conference at Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar on Wednesday (March 11)

UMNO Johor menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kepada rakyat penggunaan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membabitkan pengisytiharan darurat.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, tindakan meminta penjelasan itu diputuskan menerusi mesyuarat Umno negeri hari ini.

“Apa diputuskan dalam mesyuarat kita hari ini berkenaan keperluan penggunaan Perkara 150 yang perlu diperjelaskan kepada semua rakyat.

“Sekarang ini, perkara tersebut belum diberikan penjelasan secara menyeluruh,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Malah, Umno Johor juga tidak bersetuju jika Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan ketika wabak koronavirus (Covid-19) belum ditangani dan ketika ekonomi negara masih lembab.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata, sekiranya Dewan Rakyat terbubar Umno berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu menasihatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang keadaan dan perkara berkaitan keputusan pembubaran Parlimen.

“Jadi untuk saya mengatakan bahawa kita juga membubar DUN itu adalah tertakluk kepada bila dan dalam keadaan Dewan Rakyat terbubar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang lebih demi kebajikan rakyat berdepan pandemik Covid-19. -Malaysiapost