Pendekatan Agong legakan rakyat – Aziz Bari

0
2

TINDAKAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan keputusan berhubung perisytiharan darurat yang dikatakan cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pastinya melegakan rakyat.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, berkata perkara berhubung pengisytiharan darurat itu adalah sesuatu yang sangat kritikal dan sepatutnya tidak diputuskan secara tergesa-gesa.

“Rakyat pastinya lega dengan tindakan ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menangguhkan keputusan.

“Adalah dicadangkan hal berkenaan dirundingkan dengan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja lain.

“Yang pasti keputusan mengenai darurat boleh mengheret institusi raja ke kancah politik khususnya imej istana sebagai payung negara yang tidak harus dijadikan cap getah keputusan kerajaan yang ada,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Aziz berkata, hakikatnya kebanyakan keputusan berhubung darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka diselubungi kontroversi.

Katanya, institusi Yang di-Pertuan Agong harus mengambil isu itu untuk menekankan betapa ia adalah elemen semak dan imbang bahkan penjaga kepada perlembagaan negara.

“Meskipun perisytiharan darurat diizinkan Perlembagaan, ia perlu dibatas dan dilakukan dengan memastikan tiada penyalahgunaan.
“Dalam senario sekarang darurat bukan pilihan, ada opsyen lain yang boleh dilakukan,” katanya.

Hari ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ia bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri semalam, dan sesi menghadap ini telah dimohon oleh Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam,” katanya.-Malaysiapost