Covid-19: 7 lagi pekerja Tesco Extra positif

0
2

SERAMAI tujuh pekerja Tesco Extra Mutiara Damansara disahkan postitif Covid-19 sekali gus mencatatkan lapan kes keseluruhan selepas kes pertama dilaporkan 14 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco), tujuh kakitangan itu kali terakhir berada di premis berkenaan pada 14 Oktober dan adalah antara 53 individu yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Katanya, pasar raya itu ditutup hari ini untuk pencarian kontak dan kerja disinfeksi akan dilakukan pada 25 Oktober.

“Operasi penghantaran barangan telah dihentikan sejak 13 September lalu.

“Kira-kira 500 rakan sekerja dan penyewa kami akan menjalani ujian swab serta tidak akan dibenarkan kembali bekerja kecuali hasil ujian mereka negatif,” katanya.

Sementara itu, katanya semua maklumat mengenai mereka yang mengimbas kod QR pada aplikasi MySejahtera dalam tempoh tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pencarian kontak.

Pada 14 Oktober lalu, rangkaian pasar raya besar itu di hantaran Facebook pada jam 8 malam memaklumkan seorang kakitangan pelatihnya disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, pasar raya itu tetap dibuka sehingga jam 10 malam, menyebabkan pembeli yang tidak sedar mengenai perkara itu mengunjungi pasar raya tersebut pada malam berkenaan.

Pengunjung juga mengadu bahawa aplikasi MySejahtera tidak memaklumkam mereka bahawa terdapat kes Covid-19 dikesan di situ walaupun setelah mereka membuat imbasan kod QR di pasar raya berkenaan. – Malaysiapost