Mengenang 9 tahun tragedi United dibelasah City

0
2

SEMBILAN tahun lalu pada tarikh hari ini, Manchester City yang baru tiga tahun diambil alih pemilik dari Abu Dhabi, menghadiahkan kekalahan terbesar 6-1 kepada Manchester United di Old Trafford sejak 1930.

Kali terakhir The Red Devils dibelasah dengan teruk di gelanggang sendiri adalah pada 1930 iaitu 0-6 kepada Huddersfield dan 4-7 kepada Newcastle hanya dalam tempoh selang empat hari.

Dalam perlawanan pada 23 Oktober 2011 itu, Manchester City yang dibimbing Roberto Mancini mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mario Balotelli.

Perlawanan ini turut dikenang apabila Balotelli menyelak jersinya yang tertera ayat ‘Why Always Me’.

Babak kedua jelas menyaksikan penguasaan The Citizens apabila Balotelli menambah gol kedua pada min-60 selepas menerima hantaran James Milner.

Skuad Sir Alex Ferguson kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Jonny Evans dilayangkan kad merah.

Sergio Aguero menambah gol ketiga dan, walaupun Darren Fletcher merapatkan jurang gol buat United, namun ia tidak dapat menghalang pasukan yang dianggap ‘jiran bising’ menyumbat tiga lagi gol lewat.

Pemain gantian, Edin Dzeko menjaringkan gol keempat disusuli gol kelima dari David Silva, manakala Dzeko sekali lagi menemui sentuhan jaringan untuk gol keenam Manchester City.

Dalam saingan musim tersebut, Manchester City muncul juara Liga Perdana selepas gol masa kecederaan Aguero ketika menentang QPR memastikan Manchester United terpaksa berpuas hati di tangga kedua. – Malaysiapost