Wanita 34 tahun korban terbaharu penyakit “anjing gila” di Sarawak

0
2

Nurul Huda Abhar

SATU lagi kes rabies atau penyakit “anjing gila” dicatatkan di Sarawak, menjadikan jumlah kes berkenaan dalam kalangan manusia di negeri itu empat orang tahun ini.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaharu adalah wanita berumur 34 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober lalu kerana lemah kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

Menurutnya, wanita itu meninggal dunia pada 18 Oktober dengan diagnosa rabies encephalitis.

“Beliau disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal dijalankan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober lalu.

“Siasatan mendapati kawasan kediamannya berdekatan dengan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran.

“Beliau pernah digigit anjing peliharaannya pada penghujung 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, anjing peliharaan wanita tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

Tambahnya, haiwan itu telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian ia telah menggigit seorang lagi individu.

“Bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.

“Bagi kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mendiang.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh. – Malaysiapost