Pantun bermesej dari Raja Permaisuri Agong untuk pemimpin politik

0
2

Nurul Huda Abhar

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
memuat naik satu video di laman sosial Instagram (IG) miliknya yang memaparkan dua orang kanak-kanak sedang berpantun, semalam.

Menerusi video tersebut, dua kanak-kanak itu sedang berpantun yang mana ia dipercayai mempunyai maksud tersirat khusus kepada pemimpin politik negara.

Pantun dengan mesej mendalam itu antara lain menegur pemimpin politik negara yang ketika ini sedang galak merebut kuasa tanpa memikirkan keadaan rakyat yang sedang terhimpit akibat pandemik Covid-19.

Pantun-pantun tersebut berbunyi :

Tiga Wilayah Selangor dan Sabah,
Sudah diarah kerja dari rumah,
Orang politik sedar-sedarlah,
Ini bukan masa untuk berbalah.

Raja sudah bertitah,
Sudah-sudahlah bertelingkah,
Rakyat sedang susah,
Belum masa keluar memangkah.

Buah cempedak di luar pagar,
Jangan ambil orang punya,
Titah Raja jangan dilanggar,
Kalau dilanggar buruk padahnya.

Semua orang duduk rumah,
Sebab Covid belum sudah,
Pada yang makan rasuah,
Bertaubatlah banyakkan ibadah.

Hantaran video tersebut telah ditonton lebih 150,000 pelayar di IG baginda, dan ramai yang bersetuju dengan mesej yang ingin disampaikan Raja Permaisuri Agong.

“Terbaik..Sedarlah wahai ahli politik.. Rakyat tengah susah sekarang ni. Jangan dilanggar titah Raja,” tulis Eydasharul.

“Malu je dah tua bangka kalau tak faham lagi. Budak budak yang sebaya cicit mereka pun tahu suruh duduk diam di rumah. Alhamdulillah Malaysia ada YDPA dan Institusi Raja,” ujar Kakmigha.

“Betul sangat, rakyat dan muak. Tadi tengok cara pengebumian mangsa Covid-19 di Sabah. Ya allah menangis tengok,” kata Misha99.

https://www.instagram.com/p/CGm0bwaHHU7/?igshid=1mpczvcrroxp5

Melalui video yang dimuat turun ini, dipercayai Raja Permaisuri Agong ingin menyelitkan sedikit pesanan kepada pemimpin-pemimpin politik negara agar mendahulukan kepentingan rakyat ketika negara masih dalam memerangi wabak Covid-19.

Dalam masa yang sama, Tunku Azizah juga dipercayai ingin memartabatkan khazanah pantun Melayu dikalangan generasi anak muda agar seni ini tidak akan luput di telan zaman. -Malaysiapost