Umno kekal bersama PN

0
1

SUHU politik negara yang hangat sebelum ini, semakin menuju bibit ‘damai’ selepas Umno mengumumkan untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Selepas sekian lama, ‘berteka-teki’ mengenai kedudukannya dalam PN, Umno menyatakan pendirian untuk terus kekal dalam gabungan itu demi kepentingan rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno akan terus bersama PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Beliau berkata, parti itu menetapkan pendirian untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat diutamakan.

“Umno mendukung Kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

“Justeru, Umno mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama semua parti dalam Kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covic-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara.

Sebelum ini, Umno mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dipetik sebagai berkata Umno memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Pada 13 Ogos lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan PN. -Malaysiapost