TINDAKAN Syarikat Air Darul Aman (SADA) membeli Toyota Vellfire adalah kerana syarikat air itu sudah menjana keuntungan, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Beliau mendakwa, zaman kerajaan sebelum ini SADA mengalami kerugian berpuluh juta ringgit, namun selepas bertukar pengurusan SADA mula memperoleh keuntungan.
“Dalam Kedah ini, satu syarikat saja urus air, duit ada. Orang duduk guna. Wajib guna. Permintaan tinggi. Tapi barang (air) tak ada, syarikat duduk rugi. Kos operasi tinggi. Duit yang duduk kutip dekat orang ramai itu pergi mana habis?
“Paip pecah, meter rosak, duit nak repair katanya kena guna untuk bayar ‘elaun khas’ orang tertentu, beli tiket kapal terbang orang tertentu, ke sana ke sini. Penat ooo. Tinggi ‘maintainance’ depa!
“Tiba-tiba lepas tukar pengurusan baru, board yang baru, SADA mula untung. Kos operasi makin rendah. Tiada lagi ‘elaun pelik-pelik’, bawah meja. Semua atas meja,” katanya seperti disiarkan Harakah.
Afnan berkata, baru-baru ini, SADA mengambil balik semua Loji Rawatan Air (LRA) yang diswastakan dan sejak itu kewangan SADA mulai pulih.
Katanya, sejak itu pelabur mula tunjuk minat kerana yakin dengan pengurusan yang baru.
“Jadi, isu air di Kedah ini, sikit masa lagi insya-Allah boleh selesai. Syarikat makin pulih. Kos operasi makin berkurang. Duit makin jimat. Untung dah mula ada.
“Bila dah ada untung sikit, SADA beli kenderaan. Beli Vellfire. Nak guna untuk urusan travel ke sana ke sini dan bawa tetamu.
“Vellfire ini kereta SADA bukan kereta MB (Menteri Besar). MB memang pakai Vellfire sejak sebelum jadi MB lagi. Anak dia ramai. Adik beradik pun ramai. Padan (Sesuai) la dia pakai kereta besar itu,” katanya.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memaklumkan tiada apa-apa kesalah dalam proses membeli kenderaan berkenaan. -Malaysiapost
Foto Kredit: utaradaily.com

