RANG Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 akan dikuat kuasa mulai 23 Oktober ini.
Pelaksanaan RUU itu dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, akta baharu itu diyakini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang.
“Selain memupuk pengguna jalan raya yang berhemah, kita juga mahu memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan, isu keselamatan jalan raya antara perkara diutamakan dari segi penggubalan dasar dan penguatkuasaan oleh kementerian, termasuk mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Oleh itu, saya mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya segera memuktamadkan draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 4 Mei lalu.
“RUU ini diwartakan sejurus mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dijadikan sebahagian daripada undang-undang.
“Ia seperti mana yang dimaklumkan menerusi kenyataan saya Sabtu lalu. Selepas RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu, Dewan Negara (22 September lalu) dan perkenan Yang di-Pertuan Agong (16 Oktober 2020), Kementerian Pengangkutan melakukan proses untuk mewartakannya,” katanya.
Semalam, kementerian itu menerima instrumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 daripada Jabatan Peguam Negara dan hari ini, gilirannya pula menandatangani sebagai Menteri Pengangkutan.
Ka Siong berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama beberapa pihak yang berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat.
Katanya, pihaknya berbincang dengan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT); Dewan Pemuda PAS; Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Prof Dr Wong Shaw Voon sepanjang Mei hingga Jun lalu.
“Pihak lain termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
“Saya kemudian kemukakan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini serta diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Julai dan pada 27 Julai lalu.
“Ia dibaca kali pertama di Dewan Rakyat. Selain itu, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini turut mengambil kira pandangan masyarakat menerusi soal selidik yang dijalankan oleh kementerian melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD),” kata beliau.
Berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dikenakan hukuman yang lebih berat. -Malaysiapost

![±M³XÃQ®a²» ¡]°OªÌ¡G§d¹Å¶² - Äá¼v¡GªLªl¤t¡^](https://mp.createportal.com/wp-content/uploads/2020/10/wee-ka-siong-1.jpg)