PSP diperluaskan kepada pencarum Perkeso di kawasan PKPB

0
2

PROGRAM Saringan Prihatin (PSP) diperluaskan kepada semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan boleh menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik Perkeso.

Katanya, peluasan capaian oleh Perkeso mencakupi pencarum di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan itu akan berkuat kuasa mulai esok.

“Mereka hanya perlu buat janji temu saringan dan kemukakan maklumat lengkap kepada panel perkhidmatan.

“Senarai Panel Perkhidmatan Perkeso boleh diperoleh dalam direktori panel perkhidmatan yang dipaparkan di portal https://psp.perkeso.gov.my.

“Proses saringan boleh dilakukan di klinik, makmal atau di premis pekerjaan. Hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan Covid-19 juga boleh dijalankan melalui kaedah subsidi saringan prihatin dan kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu

“Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk Subsidi Saringan Covid-19 melalui portal https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran.

“Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan Covid-19,” ujarnya. -Malaysiapost