POLIS merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan merakam keterangan saksi berhubung penyebaran berita palsu yang mengaitkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dituduh melakukan gangguan seksual
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya telah merakam keterangan individu yang dikaitkan dengan penyebaran berita itu.
“Kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah merakam beberapa kenyataan daripada saksi-saksi dan orang yang didakwa juga.
“Kita telah buat rampasan CCTV dilokasi yang dikatakan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Kelmarin, polis mengesahkan sedang menyiasat penyebaran berita membabitkan Speaker DUN Melaka itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid, berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkaitan fitnah terhadap seseorang.
“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula adalah berkenaan seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Huzir berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) akan mengesan pihak yang memuat naik berita palsu berkenaan.
“Dengan kerjasama SKMM, kita juga akan kesan pihak yang buat posting (hantaran) berkenaan,” katanya. -Malaysiapost

