Fitri Nizam
KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi iaitu di Penjara Kepayan dan Kuarters Anggota/Pegawai di Kampung Matambai, Sabah bermula 21 Oktober hingga 3 November depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata tindakan itu diambil bagi mengawal pergerakan keluar masuk orang awam di lokasi terbabit yang terjejas akibat Covid-19.
Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu juga dapat memudahkan petugas barisan hadapan melaksanakan ujian saringan terhadap penghuni dan penduduk di lokasi terbabit.
“Jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 3,511 orang merangkumi 2,914 banduan dan 597 staf penjara.
“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan Negeri Sabah yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan di lokasi terbabit adalah sama seperti kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini. -Malaysiapost

