POLIS menumpaskan satu sindiket disyaki mendalangi aktiviti mempromosi pelacuran, penipuan dan urus niaga mata wang krypto untuk pasaran di China, dalam serbuan di Cheras, malam tadi.
Hasil serbuan, polis merampas wang tunai kira-kira RM2.5 juta dalam beberapa beg pakaian di sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara, Cheras, lapor Bernama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata lapan individu terdiri enam warga China serta dua rakyat tempatan berumur 22 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemukan wang tunai RM2.5 juta dalam beg pakaian di beberapa bilik. Komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah dadah sintetik turut dirampas,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Huzir berkata serbuan dibuat susulan operasi awal Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah kondominium di Kajang, Selangor jam 2 petang semalam.
Dalam serbuan itu tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun ditahan, dan komputer riba, telefon bimbit serta kertas catatan jadual harian sindiket turut dirampas.
Katanya, pemeriksaan terhadap komputer riba itu mendapati sindiket dipercayai melakukan aktiviti mempromosi kegiatan pelacuran dan penipuan untuk pasaran di China, dan terdapat aplikasi yang menjurus kepada urus niaga mata wang krypto, iaitu sejenis sistem pembayaran secara digital.
“Kami percaya sindiket ini menjalankan kegiatan haram bagi pasaran China dan mempromosi aktiviti mereka secara dalam talian serta ada unsur tipu dan membabitkan pusat panggilan yang lain.
“Wang tunai yang dijumpai dipercayai hasil aktiviti salah atau pengubahan wang haram kerana wang sebanyak itu tidak disimpan di bank seperti kebiasaannya,” katanya sambil menambah sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu. – Malaysiapost

