Selangor terus dihimpit masalah air

0
2

MASALAH gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan beberapa kawasan di Selangor berterusan, apabila 689 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor mengalami lagi masalah itu hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dihenti tugas separa untuk kerja pembaikan berikutan paip yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.

Katanya, kerja pembaikan itu dijangka siap sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi, esok.

“Dalam pada itu, bekalan air akan ditutup pada jam 9 malam ini dan akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air terawat dari LRA SSP1.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat setelah kerja pembaikan siap dan sistem rawatan air di loji beroperasi seperti biasa pada jam 2 petang esok,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyarankan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya sebelum penutupan dilakukan dan menggunakannya secara berhemat.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost