PENGARAH Komunikasi Parti Amanah, Khalid Abd Samad menegaskan tidak wajar kenyataan beliau dipetik media sebagai mewakili pendirian DAP.
Ia susulan laporan Utusan Malaysia pada 15 Oktober bertajuk “DAP tiada masalah bersama Umno” yang memetik beliau.
“Saya perlu menegaskan di sini bahawa laporan itu mengambil kata-kata saya di luar konteks perbincangan di mana pada dasarnya temubual itu berhubung pendirian Amanah dan bukan DAP.
“Tidak wajar kata-kata saya dipetik sebagai mewakili pendirian DAP sedangkan saya merupakan Pengarah Komunikasi Amanah, bukan DAP,” katanya menerusi kenyataan.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, dalam menjelaskan pendirian Amanah, beliau telah menyatakan kerjasama dengan Ahli Parlimen Umno adalah mungkin, tetapi seperti semua persoalan kerjasama, ia mesti bergantung kepada syarat yang bakal diperhalusi.
Buat masa ini, katanya, mandat penuh diberikan Amanah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan perbincangan dengan semua pihak baginmembentuk kerajaan di bawah kepimpinan beliau, termasuk Ahli Parlimen Umno.
Beliau menambah, hakikatnya tiada kerjasama yang “tiada masalah”, kerana ia antara entiti-entiti yang bersendirian dan berbeza, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kerjasama dengan Ahli Parlimen Umno.
Oleh itu, katanya, rundingan perlu untuk memungkinkan ia berlaku dan syarat-syarat pasti akan dibincang dan ditetapkan bila tiba masanya.
“Mengikut kata-kata pujangga, “politics is the art of the possible” bererti politik adalah seni memungkinkan sesuatu berlaku. Tidak mengusahakan sesuatu atau menggagalkan sesuatu tidak perlu kepada seni mahupun kemahiran.
“Setelah menjelaskan pendirian Amanah, saya ditanya pemberita bagaimana pula pendirian DAP? Saya menyebut “tiada masalah” dengan maksud, seperti juga Amanah, DAP memerlukan perbincangan dan rundingan berhubung syarat kerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen Umno yang ingin menyokong DSAI (Anwar).
“Dan seingat saya, selepas itu saya turut menambah “tetapi, perlu tanya DAP”. Akhirnya terpulang kepada DAP sama ada mereka sedia untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen Umno atau sebaliknya,” katanya.
Pada masa sama, Khalid berkata, seingat beliau, DAP pernah menyatakan pendirian mereka di Kota Kinabalu sebelum ini.
“Saya menganggap laporan ini berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan antara saya dan rakan-rakan yang bersama DAP. Ia ingin menggambarkan diri saya sebagai ingin mewakili dan bercakap bagi pihak mereka sedangkan temubual yang dilakukan adalah berhubung pendirian Amanah.
“Saya harap keadaan dan konteks sebenar kata-kata saya semasa temubual berkenaan jelas dan saya menyeru media untuk mempertingkatkan lagi profesionalisme semasa melaporkan sesuatu.
“Seingat saya, saya tidak memberi apa-apa temubual berhubung pendirian DAP mengenai apa jua isu kepada mana-mana akhbar, sama ada berbahasa Inggeris atau Mandarin. Untuk mengetahui pendirian DAP semestinya dirujuk pada DAP sendiri,” katanya. – Malaysiapost

