Najib akui Tun M bantu jadi TPM

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menafikan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang berusaha menjadikannya Timbalan Perdana Menteri di era Tun Abdullah Badawi.

Najib berkata, mereka berdua sememangnya akrab, malah beliau mengenang budi Dr Mahathir yang menyokongnya ketika itu.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu apa kesalahannya sehingga Dr Mahathir amat memusuhinya pada masa kini hingga bertindak keterlaluan.

“Pada mulanya dia (Dr Mahathir) menulis surat kepada saya, dia tak ada sebut pun isu 1MDB, dia kata tak setuju dengan dasar saya.

“Dia tarik sokongan terhadap saya sebab dia tak setuju dengan dasar-dasar saya…itu saja dia sebut…tapi dia tak terangkan apa dasar itu,” katanya dalam satu temubual oleh Malaysia Gazette.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu percaya bahawa kemarahan Dr Mahathir terhadap dirinya adalah disebabkan kekalahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika bertanding Naib Presiden Umno pada 2013.

Menjelaskan perkara itu, Najib berkata, beliau sama sekali tidak pernah berniat hendak menyekat peluang Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir dalam dunia politik.

Dakwanya, beliau pernah bertanya kepada Mukhriz tentang jawatan yang mahu ditandingi ketika Ahli Parlimen Jerlun itu menjawat jawatan Menteri Besar Kedah.

“Dia (Mukhriz) kata dia nak bertanding Ahli Majlis Tertinggi (MT) saja…tak lebih daripada itu.

“Jadi apabila saya balik ke KL (Kuala Lumpur) saya sokong penyandang… penyandang waktu itu Datuk (Seri Ahmad) Zahid (Hamidi), Datuk (Seri) Shafie (Apdal) dan Datuk (Seri) Hishammuddin (Hussein),” katanya.

Beliau berkata, Mukhriz juga tidak pernah menang jawatan MT Umno atas tiket sendiri sebaliknya hanya dilantik.

“Dia baru jadi Menteri Besar Kedah, jadi pada saya kalau dia boleh tunjuk prestasi yang cukup baik sebagai Menteri Besar dan mempertahankan Kedah sebagai negeri dikuasai BN maka round (pusingan) selepas ini dia layaklah bertanding Naib Presiden.

“Tak pernah dalam sejarah kita (Umno) orang bertanding Naib Presiden tanpa memenangi jawatan Majlis Tertinggi…itu pada fikiran saya,” katanya. – Malaysiapost