Covid-19:Taiping kini zon merah

0
2

MUKIM Taiping diisytihar sebagai zon merah oleh Jabatan Kesihatan Perak (JKN) selepas merekodkan 77 kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JKN, berkata 48 daripada keseluruhan 52 kes jangkitan terbaharu di Perak yang direkodkan semalam adalah dari mukim berkenaan.

Katanya, 48 jangkitan terbaharu itu membabitkan lelaki berusia antara 35 hingga 65 tahun yang juga tahanan di sebuah pusat tahanan dalam daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Kamunting berdekatan Taiping.

Menurut maklumat itu, saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 kali pertama dilakukan terhadap kesemua kes berkenaan pada 3 Oktober lalu memandangkan mereka adalah kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19, dengan keputusan menunjukkan negatif.

“Satu kes positif itu mempunyai sejarah pergerakan ke Penjara Alor Setar pada 27 dan 28 September 2020.

“Bagaimanapun pada 10 Oktober lalu, terdapat individu bergejala demam dan menerima rawatan di klinik pusat tahanan terbabit.

“Seterusnya pada 13 Oktober 2020, sampel kedua ujian PCR diambil, dengan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kedua pada 14 Oktober 2020 menunjukkan positif. Semua kes ini adalah jangkitan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang kini disahkan positif terbabit berada di pusat tahanan berkenaan sepanjang tempoh 14 hari yang lalu.

“Semua 52 kes ini sudah diasingkan dan menerima rawatan dan pengesanan kontak sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kluster baharu dikesan di Perak, setakat semalam, iaitu Kluster Bah Pengkalan yang mana kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. -Malaysiapost