Nurul Huda Abhar
TIGA kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini termasuk seorang warga emas berumur 100 tahun dan kesemuanya berlaku di negeri Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke 170 ini melibatkan wanita berumur 100 tahun di Hospital Duches of Kent, Sandakan.
Namun, tiada penyataan berkenaan dengan latar belakang penyakit yang pernah dihadapi oleh kes kematian itu.
“Bagi kes 168, kematian melibatkan wanita berusia 54 tahun di Hospital Queen of Elizabeth di Kota Kinabalu.
“Kes ini mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit kelenjar tiroid.
“Manakala, kes kematian ke 169 adalah lelaki berumur 68 tahun di Hospital Tawau. Kes ini mempunyai penyakit kencing manis,” katanya ketika sidang media, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, setakat 15 Oktober 2020, jumlah keseluruhan kematian akibat wabak Covid-19 meningkat kepada 170 kes.
“Salam takziah daripada KKM dan seluruh rakyat Malaysia kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya. – Malaysiapost

