PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang menafikan laporan bahawa beliau bersedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, beliau berkata, laporan sebuah portal bertajuk ‘DAP Lim Kit Siang : To Save Malaysia, I Am Prepared To Work With Najib To Restore Democracy & Implement Key Reforms’ adalah berita empat tahun lalu.
“Awal pagi hari ini, saya telah menerima mesej mengenai sama ada laporan The Coverage yang bertarikh 15 Oktober, dikeluarkan oleh saya.
“Kenyataan ini adalah kenyataan bersyarat, di mana prinsip dan objektif negara diberikan keutamaan.
“Ya, saya bersedia untuk bekerjasama dengan Najib untuk menyelamatkan Malaysia, tetapi bagaimanakah perkara ini hendak dilakukan jika beliau tidak bersedia mengakui mengenai skandal 1MDB (1 Malaysia Developmetn Berhad)?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, berita berkenaan sebenarnya adalah laporan daripada akhbar Malay Mail yang bertarikh 12 Mac 2016, ketika Najib masih lagi merupakan seorang Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas beliau menandatangani Deklarasi Rakyat pada Mac 2016 untuk Menyelamatkan Malaysia.
“Laporan portal The Coverage telah tular di media sosial, dengan objektif untuk mengatakan yang saya bersetuju untuk DAP bekerjasama dengan Najib Razak dan Umno untuk membentuk sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan (Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin).
“Ini adalah kerja “pemengaruh” media sosial dengan sokongan tentera siber mereka untuk menyebarkan berita dan tanggapan palsu,” katanya. -Malaysiapost

