MALAYSIA Football League (MFL) meminda tarikh saingan Piala Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang bermula hari ini.
Sepak mula yang awalnya dijadualkan pada 25-26 Oktober 2020 terpaksa dipinda ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dibuat selepas kerajaan melaksanakan PKPB.
Katannya, perancangan jadual baharu Piala Malaysia 2020 mengambil kira perkara-perkara berkaitan termasuk tarikh Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula 19 November sehingga 4 Disember 2020.
“Buat masa ini Piala Malaysia 2020 masih berada dalam perancangan untuk diteruskan.
“Pindaan tarikh ini selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan dalam situasi Covid-19 khususnya di kawasan atau negeri menjalani PKPB.
“Bagaimanapun, kita masih mempunyai masa yang cukup untuk meneruskan Piala Malaysia memandangkan format baharu tiada saingan peringkat kumpulan.
“Apa yang pasti, MFL sentiasa memantau perkembangan terkini mengenai Covid-19 dan berhubung dengan KBS dan KKM dari masa ke semasa,” katanya.
Tarikh baharu sepak mula kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berlangsung pada 6, 7 dan 8 November 2020 bermula dengan pusingan pertama 16 pasukan disusuli 12 dan 13 November 2020 (suku akhir), 17 November 2020 (separuh akhir) serta aksi final pada 22 November.
Sebagai rekod, pasukan yang layak beraksi di Piala Malaysia 2020 iaitu Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur berada dalam kawasan yang telah diisytihar zon merah dan menjalani PKPB di Lembah Klang sementara Sabah dan Kuching FA turut menjalani PKPB. – Malaysiapost

