“A good lesson,” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, nasihat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah satu pelajaran yang baik.
“YDPA menasihati DSAI (Anwar) supaya menghormati Perlembagaan.
“Menjunjung kasih Tuanku.. jom tumpu pada memerangi Covid-19 dan bantu rakyat,” katanya menerusi Twitter.
Kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu susulan pengesahan Istana Negara yang memaklumkan Presiden PKR itu telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepadanya dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah menyindir bekas ‘bos’ lamanya itu.
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun kenyataan di Twitter itu dipercayai ditujukan kepada Anwar.
“Cikgu beritahu result subjek matematik – gagal,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam sidang media mendakwa sudah mempersembahkan dokumen sahih mengandungi senarai lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi. – Malaysiapost

