
Aiman Hanif
Umno menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika syarat baharu yang dikemukakan mereka tidak dipertimbangkan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik Umno yang berlangsung di Kuala Lumpur malam ini.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengesahkan yang Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil ke Istana Negara Khamis ini.
“Membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan PN.
“Membuat pertimbangan, bukan memutuskan, ia dua perkara yang berbeza.
“Kita harap dapat bertemu (PN) hari Rabu ini,” katanya kepada media selepas mesyuarat Biro Politik Umno.
Zahid menghadap Agong Khamis ini
Terdahulu, petang tadi Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi persembah sokongan yang dimilikinya.
Dalam sidang medianya, Anwar mendakwa beliau memperoleh sokongan kira-kira 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.
Anwar juga turut mendakwa bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah tumbang.
Istana Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengesahkan Anwar telah mengemukakan jumlah sokongan diterimanya, namun tidak mendedahkan senarai nama berkenaan.
Sementara itu Ahmad berkata, Zahid dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong selaras dengan situasi politik yang melanda negara ketika ini.
“Zahid dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Khamis ini,” katanya lagi.
Daftar segera Muafakat Nasional
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan keputusan mesyuarat Biro Politik Umno juga memutuskan agar Muafakat Nasional (MN) segera didaftarakan.
Jelasnya, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu MN yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno dan PAS.
“Umno akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu MN agar MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.
“Umno berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan yang Umno lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. -Malaysiapost
