Ingkar kuarantin: Kertas siasatan menteri telah diserah kepada Peguam Negara

0
2
bernama

KERTAS siasatan berhubung pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah bersikap ‘double standard’ dalam kes membabitkan pelanggaran undang-undang.

“Saya diberitahu siasatan telah selesai dan (kertas siasatan) sudah dihantar kepada AGC.

“Terpulang kepada AGC membuat apa juga keputusan sama ada nak dakwa atau apa juga berdasarkan hasil siasatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Akhir bulan lalu, Bukit Aman dilaporkan memperkemaskan lagi kertas siasatan berhubung kes berkenaan, susulan arahan terbaharu daripada AGC apabila kertas siasatan yang diserahkan dikembalikan semula.

Pada 7 Ogos, Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin kerana melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini memberitahu polis membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin kerana tidak mematuhi perintah kuarantin wajib di rumah setelah kembali dari Turki pada 7 Julai. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama