Malaysia akan bincang status vaksin Covid-19 China

0
1

Fitri Nizam

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membincangkan status vaksin Covid-19 yang sedang dihasilkan China sempena lawatan rasmi Menteri Luar Negeri China, Wang Yi.

Kementerian Luar Negeri, berkata Hishammuddin akan menerima lawatan Wang Yi yang juga Penasihat Negara itu pada 12 dan 13 Oktober ini.

Katanya, perbincangan juga akan menjurus kepada kolaborasi pasca wabak terutamanya dalam pemulihan kelestarian ekonomi negara serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Mereka juga akan turut menyentuh mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Wang Yi dan delegasinya akan melaksanakan semua langkah pencegahan serta kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara langkah pencegahan itu adalah memastikan semua ahli delegasi China mengemukakan bukti saringan negatif Covid-19 tiga hari sebelum tiba di Malaysia.

“Menjalani ujian saringan swab kedua sebaik tiba di lapangan terbang Malaysia, delegasi akan diiringi dari lapangan terbang ke hotel, seterusnya ke tempat acara dan ke lapangan terbang semula untuk pulang ke China.

“Selain itu, kehadiran delegasi hanya dibenarkan dengan kapal terbang persendirian,” katanya. -Malaysiapost